Dasar Madani dan kelesuan politik
Setiap Perdana Menteri memiliki idea tersendiri sebagai acuan membangunkan Malaysia. Tun Dr. Mahathir Mohamad terkenal melalui Wawasan 2020. Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Tun Razak merintis konsep Satu Malaysia. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan konsep Keluarga Malaysia.
Tunggu apa lagi. Canang sudah dipukul. Maka, tibalah masanya Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan melakukan kerja. Kita tidak mahu rakyat didodoikan dengan irama dan lagu merdu Malaysia Madani, tetapi hasilnya tidak ke mana. Terlalu banyak masalah berlaku dalam masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan jangka masa panjang.
Kerajaan sebelum ini dituduh gagal dalam banyak aspek khususnya menangani kenaikan harga dan kekurangan bekalan minyak masak, telur dan sebagainya. Banyak lagi isu lain yang dibangkitkan sebagai kegagalan kerajaan sebelum ini yang boleh diikuti sewaktu kempen PRU-15. Jangan pula konsep madani ini sekadar retorik tanpa memberi kesan mendalam kepada rakyat. Rakyat mahu Kerajaan Perpaduan berkemampuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi, kualiti hidup, kesejahteraan dan sebagainya. Jika cita-cita melalui Malaysia Madani gagal mencipta lonjak baharu yang menyakinkan, kelesuan politik boleh berlaku.
Kelesuan politik itu boleh menjejaskan peluang Kerajaan Perpaduan untuk merampas DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu daripada Perikatan Nasional . Sebaliknya, akibat kelesuan politik dan kelemahan percaturan, DUN Negeri Sembilan dan Selangor boleh jatuh ke tangan PN. Kebiasaannya, di saat-saat pembubaran DUN yang kian hampir, wakil rakyat semakin rajin menjenguk kawasan bertanya khabar rakyat. Keadaan seperti itu tidak terserlah pasca PRU-15 melibatkan PN, BN dan PH.